Jurulatih skuad B-23 negara, Datuk Ong Kim Swee, mengisytiharkan misi wajib menang berdepan China dalam perlawanan terakhir Kumpulan J saingan kelayakan Kejohanan AFC B-23 Tahun 2020 malam esok susulan format pertandingan tampak tidak memihak skuad muda negara ketika ini.

Skuad negara perlu menewaskan China sebagai jalan paling selamat untuk layak secara automatik ke pusingan akhir kejohanan.

Perkara itu disedari Kim Swee setelah format pertandingan menetapkan keputusan menentang pasukan di tangga tercorot setiap kumpulan tidak akan dikira.

Ia berikutan penarikan diri Pakistan dalam Kumpulan F, sekali gus membuatkan Kim Swee enggan memikirkan keputusan lain selain kemenangan ke atas China.

"Saya tidak ingin memikirkan mengenai format saingan, kemenangan menjadi keutamaan dan ia sesuatu yang tidak mustahil untuk dilakukan. Tetapi kami perlu menyediakan pelan jika gagal meraih kemenangan dalam perlawanan ini," katanya.

Situasi itu berlaku gara-gara skuad muda negara gagal meraih kemenangan dengan jaringan besar ketika berdepan Laos di Stadium Shah Alam semalam.

Sebaliknya, anak buah Kim Swee itu bergelut untuk mengatasi lawan 1-0 dalam perlawanan yang menyaksikan jurulatih itu merehatkan beberapa tonggak utamanya.

"Untuk mengatasi China menerusi jumlah jaringan (ketika berdepan Laos), kami memerlukan 11 gol tetapi adakah ia satu keperluan untuk mengambil risiko menurunkan barisan yang telah kerap beraksi sementara kami bakal menghadapi aksi bertemu China?"