Malaysia gagal ke pusingan akhir Kejohanan AFC B-23 walaupun mengikat China 2-2 di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Skuad muda negara itu dua kali di depan menerusi gol sendiri Zhu Chenjie dan jaringan Danial Haqim Draman, namun China bangkit setiap kali ketinggalan melalui gol daripada Zhang Yuning dan Jiang Shenglong.

Walaupun terikat tujuh mata mata dengan pendahulu, China, dalam Kumpulan J, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu hanya menduduki tangga kedua ekoran perbezaan jaringan selepas China menang besar ke atas Laos (5-0) dan Filipina (8-0) berbanding Malaysia yang menundukkan Filipina (3-0) dan Laos (1-0).

China melangkah ke kejohanan utama di Bangkok dan Pathum Thani, Thailand (8-26 Januari 2020) selaku juara kumpulan manakala Malaysia perlu bergantung kepada keputusan perlawanan lain untuk sekurang-kurangnya mengisi salah satu daripada lima slot pasukan terbaik di tempat kedua.

Bagaimanapun, tuan rumah pusingan akhir, Thailand, tewas 0-4 kepada Vietnam malam tadi, yang mengurangkan slot tempat kedua kepada empat pasukan memandangkan mereka sudah layak secara automatik.

Australia, Iran, Syria dan Arab Saudi, selaku empat pasukan terbaik di tempat kedua kumpulan, kemudian menyingkirkan Malaysia daripada slot itu sepertimana slot kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 juga.

Mengikut turutannya, Malaysia adalah pasukan ketujuh terbaik dalam kalangan pasukan di tempat kedua kumpulan di belakang Tajikistan (kelima) dan Oman (keenam) yang turut tidak layak.

Penyingkiran itu menyaksikan edisi tahun lalu kekal sebagai penyertaan tunggal skuad negara sepanjang sejarah empat edisi kejohanan dwitahunan itu.

Sebagai rekod, Malaysia melakukan penampilan sulung dalam pusingan akhir kejohanan itu di China tahun lalu dan berjaya ke suku akhir sebelum disingkirkan Korea Selatan.