Kelayakan AFC B-23: Malaysia bergelut tundukkan Laos

Oleh Staff Writer 24 Mac 2019 2274
Kelayakan AFC B-23: Malaysia bergelut tundukkan Laos
MALAYSIA 1 LAOS 0

Skuad B-23 negara bergelut sebelum menundukkan Laos 1-0 dalam saingan Kumpulan J pusingan kelayakan Kejohanan AFC B-23 di Stadium Shah Alam, sebentar tadi.


Jaringan sepakan percuma daripada pemain gantian, Safawi Rasid, memberikan kelegaan besar buat skuad kendalian Ong Kim Swee itu, yang buntu mencari jalan bagi menembusi keampuhan pertahanan lawan.

Malaysia sepatutnya di depan pada minit ke-12, namun Akhyar Rashid gagal menyudahkan hantaran 'cutback' Nik Azli Nik Alias.

Laos turut memberikan ancaman menerusi percubaan jarak jauh Vanna Bounlovongsa yang ditangkap kemas penjaga gol negara, Haziq Nadzli, pada minit ke-16.

Nik Azli hampir memecahkan kebuntuan pada minit ke-20, namun rembatan rendahnya ketika situasi kelam-kabut di depan gawang lawan sekadar berakhir di dakapan Xaysavath.

Malaysia juga perlu berterima kasih kepada Haziq yang menafikan peluang terbaik Laos menerusi percubaan Bounphachan Bounkong pada minit ke-62.

Bagaimanapun, Safawi, yang dibawa masuk bagi menggantikan Nik Azli dalam babak kedua, menghasilkan sepakan percuma lencong yang sempat terkena palang gol lawan pada minit ke-65 untuk membolehkan Malaysia kekal menghuni kedudukan kedua Kumpulan J di belakang China, yang menewaskan Filipina 8-0 dalam perlawanan sebelah petang.

"Apa yang penting adalah kami mendapatkan tiga mata sebelum berdepan China dalam perlawanan terakhir.

"Apabila banyak melakukan pertukaran pemain (berbanding aksi dengan Filipina, kelmarin), permainan kami menjadi tidak begitu kemas.

"Apabila terlalu mengejar jaringan, ia mengakibatkan corak permainan kami terjejas," kata Kim Swee.

"Saya berasa amat bangga dengan persembahan dan komitmen yang ditunjukkan pemain saya.

"Apa yang sedikit mengecewakan adalah kami dibolosi oleh sepakan percuma Safawi yang telah dibincangkan di bilik persalinan.

"Penjaga gol kami mungkin telah tersalah agakan, namun saya tetap berbangga dengan persembahan kami," kata ketua jurulatih Laos, V. Sundramoorthy. 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen