Jurulatih skuad B-22 negara, Datuk Ong Kim Swee, mengakui perubahan dalam kesebelasan utama memberi kesan terhadap tahap permainan pasukannya sehingga terpaksa bergelut untuk menewaskan Laos 1-0, malam tadi.

Kim Swee melakukan rombakan dalam kesebelasan utama ketika berdepan Laos untuk aksi kedua Kumpulan J itu di Stadium Shah Alam.

Ia menyaksikan beberapa pemain utama direhatkan, antaranya Safawi Rasid dan Nik Akif Syahiran Nik Mat sambil khidmat Danial Amier Norshisham terpaksa diketepikan ekoran kecederaan.

Perubahan itu diharapkan memberikan dimensi baru kepada pasukan, namun sebaliknya berlaku apabila anak buah Kim Swee gagal menampilkan aksi meyakinkan.

Mujur, kemasukan Safawi dalam babak kedua membuahkan hasil apabila dia menyelamatkan skuad negara menerusi gol tunggal hasil sepakan percuma lencongnya pada lewat permainan.

"Sudah tentu daripada segi persembahan, ia tidak bagus memandangkan beberapa perubahan dilakukan.

"Ia sesuatu yang mengecewakan kerana kami melepaskan beberapa peluang menarik dalam separuh masa pertama yang menyebabkan pemain negara mula mengejar permainan selain tahap keyakinan mulai menurun.

"Sebab itulah kami mengejar permainan dan ia menyulitkan kami," kata Kim Swee.

Rakan sejawatannya di pihak Laos, V. Sundramoorthy, pula berkata: "Apabila saya melihat beberapa perubahan yang dilakukan Malaysia, saya agak terkejut sebaik mengetahui di dalam bilik persalinan.

"Beliau mengetengahkan pemain berbeza tetapi pada akhirnya, segalanya terletak di tangan kami sendiri. Malaysia menjaringkan gol tetapi kami tidak."