"Jangan takut dengan jaringan besar China."

Demikian pesanan bekas ketua jurulatih skuad senior negara, Datuk K. Rajagobal, yang menganggap misi Malaysia untuk mengisi slot 16 terbaik Kejohanan AFC B-23 sebagai bukan perkara mustahil.


Kehebatan China mencorak jaringan selesa ke atas Laos dan Filipina dalam dua perlawanan pertama pusingan kelayakan hanya merupakan kelebihan di atas kertas.

Menjelang aksi di Stadium Shah Alam malam ini, perhitungan dengan Malaysia akan bermula dengan peluang sama rata buat kedua-dua pasukan.

Justeru, Rajagobal berpesan rasa takut hanya akan membunuh momentum perlawanan skuad muda negara itu.

"Kejayaan China memperoleh jaringan besar dalam dua perlawanan pertama tidak bermakna skuad negara perlu berasa takut dengan mereka.

"Malaysia berbeza dengan Filipina dan Laos, jadi mereka juga pasti sedar dengan kualiti yang dimiliki skuad negara," katanya.

Dalam masa sama, Rajagobal berkeyakinan pendekatan taktikal Datuk Ong Kim Swee mampu mencetus kesukaran buat barisan kendalian Gus Hiddink itu.

Kejayaan skuad negara mengatasi Korea Selatan dalam Sukan Asia Indonesia tahun lalu menjadi bukti terbaik bahawa Malaysia juga mampu untuk melakar kejutan.

"Ia terpulang kepada jurulatih (Kim Swee) dan keyakinan pemain negara.

"Ia merupakan tugas jurulatih (merencana strategi) dan pemain akan mengikuti setiap percaturan yang diterapkan," tambahnya.