Kapten skuad B-23 negara, Safawi Rasid, melaungkan keazaman "pertemuan menentang China ibarat final" dalam memastikan tiket ke pusingan akhir Kejohanan AFC B-23 2020 di Bangkok, Thailand menjadi milik Malaysia.

Safawi menyedari tugas sukar menanti pasukannya apabila China menjadi lawan terakhir mereka dalam saingan Kumpulan J, malam esok

Pasukan itu sudah merekodkan 13 gol tanpa sebarang bolos, sekali gus menyerlahkan kekuatan mereka selaku pasukan pilihan.

Begitupun, penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT) itu percaya ia bukan misi mustahil untuk mengejutkan lawan biarpun dibimbing jurulatih ternama dunia.

"Beraksi di laman sendiri adalah satu kelebihan buat Malaysia. Ia ibarat aksi final dan kami mengharapkan sokongan penuh dapat diberikan kepada kami," kata Safawi.

Safawi semalam menyalakan harapan skuad negara untuk layak ke pusingan akhir menerusi gol kemenangan ke atas Laos hasil sepakan percuma lencong cantik.

Menyuntik semangat pemain ini untuk aksi berdepan China, sentuhannya sudah tentu ditagih ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee, untuk merealisasikan impian tiga mata penuh.

"Saya berasakan masih belum dapat menampilkan permainan terbaik dan mahu memastikan layak ke pusingan akhir Kejohanan AFC B-23," katanya lagi.