CHINA 5 LAOS 0

China memulakan kempen pusingan kelayakan Kejohanan AFC B-23 dengan bergaya dengan meratah Laos 5-0 di Stadium Shah Alam, sebentar tadi.


Dua gol daripada Yang Liyu serta masing-masing satu daripada Shan Huanhuan, Lin Lianming dan Cao Yongjing sudah cukup untuk China memenuhi reputasi selaku pilihan utama Kumpulan G.

Jurang ketara dapat disaksikan dalam babak pertama dan ia dimanfaatkan Liyu untuk membuka tirai jaringan menerusi sepakan penalti pada setengah jam pertama perlawanan selepas bola terkena tangan pertahanan Laos.

Berselang 12 minit, giliran Huanhuan mencetak nama selaku penjaring dengan memanfaatkan bola yang gagal ditangkap kemas penjaga gol Laos, Keo Oudone Souvannasangso, sebelum Liyu menamatkan separuh masa pertama dengan kelebihan 3-0 buat China.

Laos, yang dibimbing bekas ketua jurulatih Singapura, V. Sundramoorthy, lebih memilih untuk bertahan sepanjang babak kedua dan situasi itu menyukarkan China untuk menambah jaringan.

Bagaimanapun, skuad kendalian Guus Hiddink itu memanfaatkan kealpaan lawan dalam waktu kecederaan untuk menyumbat dua lagi gol menerusi Lianming dan Yongjing.