Biarpun bakal memperkembangkan karier bola sepaknya di bumi Eropah, penyerang muda negara, Luqman Hakim Shamsudin, mahu menjadikan latihan bersama FC Tokyo sebagai persiapan menghadapi pusingan kelayakan Kejohanan AFC B-19 tahun di Kemboja, bulan depan.

Luqman bersama dua lagi pemain muda negara, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman dan Ahmad Zikri Mohd Khalili berpeluang menjalani latihan bersama FC Tokyo bermula Isnin depan.

Tiga tonggak itu tidak akan bersama skuad B-18 negara ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) Ahad ini untuk beberapa aksi persahabatan, termasuk berdepan skuad B-18 UAE.

"Saya perlu fokus latihan di Jepun walaupun sepatutnya berlatih bersama pasukan B-18 negara di sini.

"Kami akan ke sana selama seminggu dan walaupun tidak dapat bersama rakan sepasukan, kami akan tetap memberi fokus dengan persiapan selama di Jepun kelak," kata Luqman di Padang Latihan Sime Darby, Shah Alam, pagi tadi.

"Adalah menjadi salah satu impian saya untuk beraksi di pentas tertinggi Asia dan saya mahu berikan aksi terbaik demi keluarga, rakan-rakan dan negara dalam usaha membangunkan lagi bola sepak negara.

"Saya harap dapat buat yang terbaik sepanjang bersama FC Tokyo untuk karier jangka panjang dalam bola sepak," kata Sikh Izhan.

Sementara itu, ketua jurulatih skuad B-19 negara, Brad Maloney, yakin mampu mempersiapkan skuad dengan 24 pemain yang akan dibawa ke Dubai meskipun tanpa kelibat tiga pemain berkenaan.

"Nama tiga pemain itu agak sudah kukuh, jadi saya berharap ia satu lagi peluang untuk mereka mencuri tumpuan," kata jurulatih kelahiran Australia itu.

Skuad muda negara diundi dalam Kumpulan G di samping tuan rumah, Kemboja, Brunei, Kepulauan Mariana Utara dan Thailand.