Ketua jurulatih skuad B-19 kebangsaan, Brad Maloney, mengakui memiliki beberapa nama yang berjaya menarik perhatiannya sepanjang kem di Emiriah Arab Bersatu (UAE) tetapi belum ada sebarang kata putus terhadap senarai pemain yang bakal menghadapi saingan kelayakan Kejohanan AFC awal bulan depan.

Walaupun pengendali itu sudah dapat menilai beberapa pemain yang perlu ada dalam skuad kendaliannya itu, dia tidak mahu terlalu cepat membuat pilihan.

Malah, Maloney masih memberi masa kepada semua pemain untuk membuktikan kemampuan sebelum berlepas ke Kemboja penghujung bulan ini.

Sambil menyifatkan kemungkinan kecederaan sebagai faktor yang akan mempengaruhi pemilihannya, dia juga menegaskan tiada pemain berada dalam zon selesa ketika ini.

"Jelas sekali ada pemain yang mampu beraksi dengan baik pada tahap ini. Mereka tampil cemerlang dalam aksi persahabatan, jadi mereka benar-benar mampu berada dalam skuad terakhir. Namun, keputusan belum dibuat," katanya.

Maloney masih melihat keupayaan Malaysia mampu mencatat kejutan di Kemboja.

Jumlah 16 slot yang dipertaruhkan kini menjadi sasaran utama skuad negara, tidak kira sama ada layak menerusi tiket automatik 11 pasukan atau mengisi kedudukan lima pasukan dalam kedudukan kedua terbaik bagi semua kumpulan.

"Setakat ini, perancangan kami berjalan lancar. Ketika ini, kami di landasan tepat dan akan meneruskannya. Apabila sampai ke Kemboja, kami akan mempersiapkan diri sebelum aksi pertama pada 2 November nanti."