THAILAND 0 MALAYSIA 1

Jaringan tunggal Umar Hakeem Suhar Redzuan memastikan kemenangan 1-0 Malaysia ke atas Thailand dalam saingan kelayakan Kejohanan AFC B-19 di Stadium Nasional Olimpik Phnom Penh, Kemboja sebentar tadi.


Malaysia terpaksa menunggu hingga minit ke-83 untuk mendahului skuad bimbingan Ithsara Sritharo itu dalam aksi terakhir Kumpulan G, sekali gus menempah slot automatik ke pusingan akhir Kejohanan AFC B-19 2020 di Uzbekistan.

Corak permainan pantas dan tekanan yang dipamerkan Thailand merupakan rangkuman bagi aksi terakhir Kumpulan G ini, ketika mereka terdesak mencari jalan untuk menghasilkan jaringan.

Namun, keampuhan benteng pertahanan serta ketangkasan penjaga gol negara, Firdaus Irman Mohd Fadhil, berjaya memastikan gawang tidak dibolosi.

Jentera serangan Malaysia -- diketuai oleh Luqman Hakim Shamsudin -- turut melakukan beberapa gerakan pantas, namun tercari-cari idea untuk menghasilkan peluang.

Percubaan terbaik skuad kendalian Brad Maloney terhasil menerusi sepakan percuma yang diambil Mukhairi Ajmal Mahadi, namun ia sekadar tepat ke dakapan penjaga gol, Siriwat Ingkaew.

Malaysia, yang mempertingkatkan intensiti serta tempo permainan sejurus perlawanan bersambung dalam separuh masa kedua, mula menemui jalan untuk menembusi kubu pertahanan Thailand menerusi sayap kiri dan kanan serta mula menghasilkan percubaan demi percubaan.

Bermula dengan Alif Mutalib yang melepaskan rembatan dari luar kotak penalti pada minit ke-57, Malaysia semakin hampir menemui jaringan ketika perlawanan berbaki 13 minit -- rembatan Umar berjaya menewaskan Siriwat, namun menggegar palang gol.

Ketika perlawanan mula memihak Malaysia, corak permainan agresif dengan terjahan demi terjahan daripada barisan pemain Thailand cuba mematikan momentum permainan.

Satu insiden menyaksikan ketika Shafi Azswad Sapari menerima rawatan, pengadil, Kurbanov Charymurat, melayangkan kad kuning kepada pegawai perubatan skuad Malaysia kerana dianggap cuba memberikan lebih masa untuk skuad kendalian Brad Maloney itu kembali mencari rentak.

Gol tunggal perlawanan akhirnya terhasil ketika perlawanan berbaki tujuh minit -- bermula daripada hantaran jauh Mukhairi ke sayap kanan sebelum Azam Azmi berjaya melakukan hantaran silang yang disempurnakan oleh Umar menewaskan penjaga gol Thailand.

Thailand -- yang tewas kepada Kemboja 2-1 dalam aksi sebelum ini -- memanggil semula khidmat Suphanat Mueanta untuk memperkuat jentera serangan pasukan, namun tidak terdaya mencari gol penyamaan, sekali gus gagal menempatkan diri ke Kejohanan AFC B-19 di Uzbekistan tahun depan.

"Kejohanan ini sangat menakjubkan. Kami telah menghadapi perlawanan yang sukar sepanjang kempen dan Thailand telah menampilkan permainan terbaik dalam usaha mendapatkan kemenangan dan kami mengekalkan prinsip sepanjang saingan dan pulang ke Malaysia dengan kemenangan serta melangkah ke Kejohanan AFC B-19 tahun depan," kata Maloney.