Pengendali skuad B-15 negara, P. Maniam, enggan anak buahnya memandang rendah ketika bertemu Kemboja dan Laos untuk memastikan enam mata awal sebelum berdepan Jepun dalam saingan kumpulan kelayakan Kejohanan AFC B-16 2020.

Skuad muda negara berdepan satu lagi cabaran di peringkat lebih tinggi setelah 10 hari menjalani latihan pusat dan perlawanan persahabatan bersama pasukan Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) dan Mongolia.

Skuad juara Kejohanan AFF B-15 edisi tahun ini itu berlepas ke Vientiane, Laos, untuk menghadapi aksi pembuka tirai Kumpulan J menentang Kemboja pada Rabu depan, disusuli pertemuan dengan Laos, berselang sehari, sebelum berhitung dengan Jepun.

Bagaimanapun, jurulatih berumur 61 tahun itu menuntut peningkatan tumpuan anak buahnya dalam dua aksi awal terlebih dahulu sebelum berdepan cabaran sebenar apabila menghadapi pasukan gergasi Asia itu.

"Pemain memberi tumpuan tinggi tetapi kami tidak boleh mengambil mudah berdepan Kemboja dan Laos.

"Walaupun mengakui Jepun di tahap yang lebih tinggi dan pemain akan berikan tentangan habis-habisan, perlawanan dengan Kemboja dan Laos adalah mustahak," kata bekas penyerang kebangsaan itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Sementara itu, ketua pasukan, Muhammad Daniel Edzuan Mohd Anuar, meminta rakan sepasukannya agar menampilkan semangat juang seperti ketika menjuarai Kejohanan AFF bulan lalu sambil melabel skuad negara berada di tahap terbaik.

"Sebelum ini, (Jepun) tidak begitu pandang (tinggi) terhadap kami tetapi kini (keadaan sudah berubah) kerana (prestasi) Malaysia lebih baik," katanya.