Ketua jurulatih skuad B-15 negara, P. Maniam, tiada rungutan mengenai komitmen dan aksi yang dijelmakan barisan muda negara itu biarpun misi ke pusingan akhir Kejohanan AFC B-16 gagal dicapai selepas pasukannya sekadar seri 2-2 dengan Jepun dalam perlawanan terakhir Kumpulan J, pusingan kelayakan di Vientiene, Laos semalam.

Baginya, skuad kendaliannya itu sudah mengerah segala kudrat yang ada ketika berdepan Jepun dan hampir menumbangkan skuad Negara Matahari Terbit itu dengan 10 pemain -- penjaga gol, Zulhilmi Sharani, dilayangkan kad merah pada pertengahan babak kedua.

Keputusan seri itu menyaksikan skuad negara sekadar menamatkan saingan peringkat kelayakan itu di tempat ketiga di belakang Jepun dan Laos.

"Kami dapat lihat keazaman, keinginan dan semangat juang yang tinggi.

"Kami dapat lihat pelbagai perkara positif.

"Kami telah banyak meningkat dan mencipta banyak peluang untuk menjaringkan gol dan kami juga bermain dengan 10 pemain.

"Ia pasukan yang hebat, persembahan yang hebat.

"Kerana sedikit kesilapan, Jepun menghukum kami tetapi sebagai rakyat Malaysia, saya amat berbangga untuk menjadi jurulatih pasukan ini," katanya.

Maniam turut menyifatkan barisan pemainnya memiliki potensi besar biarpun gagal ke pusingan akhir tahun depan.