MALAYSIA 0 LAOS 1

Malaysia menerima tamparan hebat untuk memburu slot ke pusingan akhir Kejohanan AFC B-16 2020 apabila tewas 0-1 kepada Laos dalam aksi kedua pusingan kelayakan Kumpulan J di Stadium Nasional Laos di Vientiane, malam ini.


Hasrat skuad B-15 negara mengutip mata maksimum selepas membelasah Kemboja 7-0 dalam pelawanan pembukaan, dua hari lalu, musnah apabila kesilapan pertahanan menyaksikan pasukan tuan rumah melakukan jaringan seawal minit keempat menerusi Lavi Somthongkham.

Skuad bimbingan P. Maniam itu cuba bangkit daripada kejutan awal berkenaan tetapi benteng pertahanan Laos menafikan sebarang percubaan oleh barisan depan negara untuk memburu gol penyamaan.

Hanya 11 juara kumpulan dan empat naib juara terbaik layak ke pusingan akhir, dengan Malaysia kini berdepan tugas getir apabila bertemu Jepun dalam perlawanan terakhir kumpulan, Ahad ini.

Sementara itu, Jepun mendahului kedudukan kumpulan dengan enam mata selelepas membelasah Kemboja 8-0 hari ini.

Kelmarin, Jepun menewaskan Laos 4-0.

-- BERNAMA