ULSAN HYUNDAI 5 PERAK 1

Perak terpaksa menelan hakikat jurang besar di antara Ulsan Hyundai selepas tersungkur 1-5 dalam aksi play-off Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2019, sebentar tadi.


Perak berhasil mengimbangi rentak tuan rumah pada awal permainan dan hanya dipisahkan dengan gol sendiri oleh Amirul Azahan Aznan pada minit ke-23 yang cuba mengeluarkan hantaran lintang pendek Jeong Dong-ho.

Suasana Stadium Bolasepak Ulsan Munsu semakin menarik untuk penyokong tuan rumah dalam babak berikutnya tetapi menjadi mimpi ngeri The Bos Gaurus.

Ulsan, yang turun dengan reputasi sebagai juara 2012, hanya memerlukan tempoh 10 minit dalam baki separuh masa untuk mengukuhkan cengkaman.

Kelincahan Mix Diskerud mudah mengucar-ngacirkan barisan kendalian Mehmet Durakovic itu untuk mencetak gol pada minit ke-56 sebelum rembatannya dari luar kotak penalti, dua minit berselang menjadikan kedudukan 3-0.

Sekali lagi Perak bergelut untuk mengekang gerakan dari sebelah sayap dan ia dibuktikan apabila giliran Lee Dong-kyeong pula merobek gawang lawan (m-70) sebelum pemain dari Brazil, Junior Negrao melengkapkan pesta gol Ulsan.

Nazirul Naim Che Hashim kemudian menyumbat gol saguhati pada masa kecederaan namun ia gagal menyekat Perak daripada tersingkir ke saingan Piala AFC.