Kapten Perak, Shahrul Mohd Saad, teruja kerana bersama rakan lain akan beraksi dalam kejohanan peringkat tinggi apabila bertemu kelab Hong Kong, Kitchee SC, dalam pusingan kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL), malam ini.

"Ini kali pertama saya dan majoriti pemain Perak akan beraksi dalam ACL.

"Kami semua cukup teruja dan bangga. Justeru, kami akan memberi persembahan terbaik dalam usaha mencapai kejayaan membanggakan," katanya.

Bek tengah kebangsaan itu yakin rakan sepasukan sudah bersedia untuk mengharungi perlawanan menentang wakil Hong Kong itu yang mempunyai banyak pengalaman beraksi di peringkat tinggi.

"Apa yang pasti, kami tidak akan memberi laluan mudah kepada mereka.

"Kami akan pastikan maruah dan imej bola sepak Malaysia tidak tercalar," ujarnya.

Sehubungan itu, Shahrul mengajak rakan sepasukan agar mempamerkan semangat juang kental untuk menghasilkan pencapaian membanggakan.

Walaupun sedar tugas berat menanti Perak malam ini, Shahrul yakin tidak mustahil tuan rumah mampu menyaingi Kitchee.

"Peluang berjaya tetap ada dengan syarat setiap pemain memberi aksi 100 peratus dalam perlawanan ini.

"Jika mampu beraksi mengikut kemampuan, kami boleh berjaya," katanya.

Shahrul juga berharap kehadiran ramai penyokong malam ini boleh menyemarakkan semangat pemain tuan rumah.