Masalah kecederaan menghantui Perak menjelang pertemuan dengan Kitchee SC dalam pusingan kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Perak, malam esok.

Pengendali The Bos Gaurus, Mehmet Durakovic, mengesahkan Nazirul Naim Che Hashim dan Norhakim Hassan mengalami kecederaan semasa beraksi menentang Kedah dalam saingan Liga Super, Jumaat lalu.

"Kami bermain menentang dua pasukan handalan, iaitu Johor Darul Ta'zim (JDT) dan kemudian Kedah.

"Itulah harga yang perlu dibayar, namun mereka masih ada 48 jam untuk pulih.

"Saya akan tunggu hingga ke saat-saat akhir sebelum membuat keputusan mengenai kedudukan mereka menjelang perlawanan itu," katanya.

Jurulatih dari Australia itu yakin pemain Perak kini teruja untuk beraksi dalam perlawanan peringkat antarabangsa itu yang akan memberikan pengalaman berbeza buat mereka.

"Beraksi di peringkat tertinggi seperti ini memang menjadi idaman setiap pemain bola sepak.

"Saya percaya pemain Perak tidak sabar untuk turun beraksi dalam perlawanan ini," ujarnya.

Mengenai perlawanan malam esok, Durakovic berkata mereka akan berhadapan pasukan terbaik Hong Kong dan menjangkakan laluan sukar akan dihadapi anak buahnya.

"Ia sememangnya perlawanan yang sukar dan saya menuntut aksi terbaik daripada setiap pemain.

"Saya berharap mereka dapat menggunakan kelebihan bermain di tempat sendiri untuk menghasilkan pencapaian terbaik," katanya.

Durakovic mengharapkan sokongan padu daripada penyokong Perak dan berharap mereka dapat hadir beramai-ramai ke Stadium Perak malam esok.

"Saya berharap kami akan mendapat sokongan padu seperti ketika menentang Kedah.

"Hampir setiap ruang dipenuhi penonton," tambahnya.