PERAK 1 KITCHEE 1
(Perak menang menerusi penentuan sepakan penalti 6-5)

Perak layak ke pusingan kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) selepas mengatasi kelab Hong Kong, Kitchee SC, 6-5 melalui sepakan penalti di Stadium Perak, sebentar tadi.


Penjaga gol, Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy, mengulangi kejayaannya ketika final Piala Malaysia, 27 Oktober lalu, apabila menyekat dua sepakan penalti lawan sebelum Kenny Pallraj menjaringkan sepakan penalti kemenangan Perak.

Dengan kemenangan ini, Perak akan bertemu wakil Korea Selatan, Ulsan Hyundai, dalam pusingan seterusnya di Korea Selatan, Selasa depan.

Perlawanan terpaksa diputuskan melalui sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 di akhir permainan 90 minit dan tambahan masa.

Jangkaan Perak akan mudah menjadi mangsa ratahan wakil Hong Kong itu meleset kerana anak buah Mehmet Durakovic berjaya memberi cabaran kepada Kitchee.

Malah, Perak sepatutnya boleh memenanginya dengan selesa tetapi penyerangnya mensia-siakan banyak peluang.

Gilmar Jose Da Silva mempunyai peluang membuka jaringan di awal permainan tetapi gagal menewaskan penjaga gol lawan, Wang Zhenpeng, dalam situasi satu lawan satu.

Kesungguhan Perak akhirnya membuahkan ganjaran apabila Wander Luiz Biten Court meletakkan tuan rumah di hadapan dengan menyudahkan lantunan daripada tandukan Gilmar yang terkena tiang pada minit ke-14.

Begitupun, pemain itu kemudian mensia-siakan dua peluang terbuka menambah jaringan pada setiap babak.

Benteng Perak, yang walaupun tanpa Zac Anderson dan Nazirul Naim Che Hashim yang digantikan oleh Mohd Idris Ahmad dan Rafiuddin Roddin, kental bertahan untuk menyukarkan ayam tambatan pelawat, Lucas Da Silva, daripada melakukan sebarang kemusnahan.

Babak kedua menyaksikan Perak terus mengasak ke kubu lawan untuk memaksa pelawat bertahan.

Tekanan terus dirasakan Kitchee apabila Matthew Smith diperintah keluar padang kerana mengutip kad kuning kedua pada awal separuh masa kedua.

Bagaimanapun, tuan rumah gagal mengambil kesempatan daripada kekurangan lawan untuk memastikan kemenangan.

Sebaliknya, ketika kemenangan sudah di depan mata, lawan berjaya menafikan kejayaan Perak apabila Li Ngai Hoi menyamakan kedudukan lima minit sebelum tamat untuk menggamamkan 9,000 penyokong tuan rumah.

Kesudahannya, penentuan sepakan penalti menjadi pemisah yang menyaksikan Perak yang lebih bertuah.