"Kami kalah kepada pasukan lebih hebat." Begitu pengakuan jurulatih kelab Hong Kong, Kitchee SC, Alex Chu Chi Kwong, selepas anak buahnya tersingkir dalam pusingan awal kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2019 malam tadi.

Jurulatih itu akur usaha mereka tidak mencukupi untuk menyekat Perak walaupun memberikan saingan.

"Perak pasukan yang bagus. Saya memang jangkakan kami akan hadapi laluan sukar.

"Layangan kad merah kepada Matthew Smith pada awal babak kedua menyukarkan lagi misi kami.

"Bagaimanapun, saya puji pemain saya kerana terus berjuang untuk menyamakan kedudukan dan memaksa permainan ditentukan melalui penalti," katanya mengenai kekalahan 5-6 pasukannya di Stadium Perak.

Berikutan kekalahan itu, Kitchee SC akan beraksi dalam Piala AFC, iaitu kejohanan lebih rendah daripada ACL.

Alex berharap kekalahan itu tidak melunturkan semangat anak buahnya untuk mengharungi baki lapan perlawanan Liga Hong Kong.

Kitchee selaku juara bertahan menduduki tangga keempat liga dengan mengutip 18 mata daripada 10 perlawanan.

"Memang berat untuk menanggung kekalahan ini tetapi pemain perlu segera kembali ke realiti kehidupan agar usaha mengekalkan gelaran tidak menemui kegagalan," kata Alex lagi.