Kelantan United makin hampir julang Liga M3

Oleh Farizal Yusoff 6 Oktober 2019
Kelantan United makin hampir julang Liga M3
Kelantan United FC semakin hampir mencipta sejarah menjulang kejuaraan Liga M3 apabila menumpaskan BTK FC 2-0 di Stadium UiTM, Shah Alam.

Lebih mengembirakan, pencabar terdekat mereka, Kuching FA, pula terikat 2-2 dengan Protap FC, sekali gus melebarkan jurang kepada sembilan mata dengan aksi berbaki empat perlawanan.

Dalam aksi menarik malam tadi, Kelantan United mendapat gol pertama melalui sepakan kencang pemain import, Gassama Alfussainey, hasil sepakan percuma pertahanan, Shamsul Kamal, pada minit ke-21.

Dalam separuh masa kedua, melalui serangan balas, Sang Kijang Hijau berjaya mendapatkan gol kedua hasil sepakan leret Azrean Aziz yang menewaskan penjaga gol BTK FC, Budriz Ramlan, pada minit ke-47.

Ketua jurulatih Kelantan United FC, Zahasmi Ismail, gembira dengan kejayaan mereka membawa balik tiga mata biarpun pemain banyak membazirkan peluang untuk menambah jaringan.

"Alhamdulillah, biarpun agak tumpul di depan gawang lawan namun membawa balik tiga mata sudah cukup untuk menyuntik keyakinan kepada pemain.

"Kami akan baiki segala kelemahan yang ada terutama dalam aspek hantaran menjelang aksi penting menentang Kuching FA, Sabtu ini," katanya.

Tentang Penulis

Farizal Yusoff

Komen