Kelantan United FC mahu menggunakan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri untuk menumpaskan DDM FC dalam saingan Liga M3 di Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini.

Ketua jurulatih Kelantan United FC, Zahasmi Ismail, berkata pemainnya perlu menggunakan sepenuhnya aura stadium keramat tersebut sambil dibantu sokongan padu penyokong setia.

"Saya jangkakan satu aksi yang mencabar kerana kedua-dua pasukan dahagakan kemenangan untuk mengukuhkan kedudukan dalam kelompok teratas liga.

"Kami perlu menggunakan kelebihan beraksi di stadium sendiri dan sudah pasti akan mendapat sokongan padu penonton," katanya.

Zahasmi, yang juga bekas pengendali skuad Liga Super Kelantan, gembira dengan kehadiran enam lagi tonggak yang dibawa masuk untuk mengukuhkan pasukan dan mereka dijangka menjadi faktor pemisah apabila bertemu kelab dari Lembah Klang itu.

"Alhamdulillah, sebelum jendela perpindahan pemain ditutup, Kelantan United mengikat enam pemain berpengalaman, termasuklah Piya (Mohd Badhri Radzi).

"Saya harap kehadiran mereka mampu mengemudi pasukan untuk mencipta kemenangan ke atas DDM FC untuk mencabar Kuching FA sebagai pendahulu liga," katanya.

Zahasmi juga memberitahu, skuad kendaliannya menghormati kekuatan lawan dan tidak mengambil mudah pertemuan itu.

"Dalam bola sepak, apa sahaja boleh berlaku. Kami tidak memandang rendah pasukan lawan, bahkan akan cuba sedaya-upaya memenangi perlawanan ini," katanya.

Untuk rekod, Kelantan United menduduki tangga keempat carta liga dengan 16 mata hasil daripada lima kemenangan dan seri sekali manakala DDM FC di tempat kedua dengan 18 mata.