Juara Liga M3, Kelantan United FC (KUFC), mengumumkan penubuhan sebuah syarikat profesional untuk memantapkan lagi pengurusan kelab berkenaan dalam saingan Liga Malaysia musim depan.

Setiausaha Eksekutif KUFC, Wan Mohd Zul Ikman, berkata penubuhan syarikat Kelantan United FC Sdn. Bhd. dilihat selari dengan kehendak Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang mahukan pasukan bola sepak di negara ini diuruskan secara profesional.

"Kami juga berusaha menyelesaikan urusan pelesenan kelab bagi membolehkan KUFC beraksi dalam Liga Perdana musim depan.

"Insya-Allah, minggu depan, rombongan KUFC akan berjumpa dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia untuk berbincang isu tersebut.

"Selain itu, kami juga dalam proses menilai beberapa tawaran penajaan daripada syarikat dan individu yang berminat," katanya.

Untuk rekod, KUFC mencipta sejarah menjulang kejuaraan Liga M3 musim ini apabila memungut 66 mata hasil daripada 21 kemenangan dan tiga keputusan seri.

Kredit Foto: Kelantan United FC