ATM 2 KELANTAN UNITED 2

Juara Liga M3, Kelantan United, sekadar melakar keputusan seri 2-2 pada aksi terakhir Liga M3 menentang ATM FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, di sini, malam ini.


Keputusan seri itu tidak menjejaskan peluang pasukan Kelantan United yang sudah mengesahkan kejuaraan Liga M3 pada 27 Okt lepas menerusi kemenangan selesa 5-0 ke atas wakil Kedah, Glory United FC di Stadium LADA, Langkawi, sekali gus layak ke Liga Premier 2020.

Pasukan pantai timur itu mengutip 68 mata selepas beraksi 26 perlawanan, manakala pencabar terdekat, Kuching FA sah muncul naib juara dengan kutipan 56 mata walaupun masih mempunyai baki dua perlawanan.

Selaku juara, Kelantan United membawa pulang trofi Liga M3 yang disampaikan Ahli Lembaga Pengarah Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi kepada ketua pasukan, Mohd Badhri Radzi.

Pada aksi di Cheras, bekas penyerang Kelantan, Fakhrul Zaman Wan Abdullah Zawawi memecah kebuntuan setelah memanfaatkan kealpaan benteng pertahanan pasukan tuan rumah pada masa kecederaan babak pertama perlawanan, sebelum Faizol Sayuti menggandakan kedudukan untuk pasukan pelawat pada minit ke-47.

ATM FC, bagaimanapun, bangkit menyamakan kedudukan, bermula dengan gol pertama menerusi tandukan Hanafi Azizan yang memanfaatkan hantaran silang pemain veteran, Venice Elphi pada minit ke-58.

Venice menyamakan kedudukan menjadi 2-2 pada minit ke-64 setelah mudah menolak masuk percubaan Rafizi Roslan yang sebelum itu singgah di palang gol Kelantan United, dan keputusan berkenaan kekal sehingga tamat perlawanan.

Bercakap pada sidang media selepas perlawanan berkenaan, Ketua Jurulatih Kelantan United, Zahasmi Ismail berbangga dengan pencapaian cemerlang pasukan berkenaan dalam saingan Liga M3 yang sebelum ini dikenali sebagai Piala FAM.

"Kejayaan ini amat bermaknya kerana kita mengharungi perlawanan liga yang agak panjang dan sasaran kita untuk beraksi pada Liga Premier pada musim depan tercapai.

Saingan Liga Premier semestinya berbeza berbanding Liga M3, dan kita akan memperbaiki apa yang sepatutnya kerana Liga Premier lagi mencabar daripada apa yang kita lalui pada musim ini," kata bekas pengendali skuad Liga Super Kelantan itu.

-- BERNAMA