Kelantan ikat Mustafa Zazai

Oleh Farizal Yusoff 23 Januari 2019 525
Kelantan ikat Mustafa Zazai
Selepas dua minggu mencari penyerang sejati, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengesahkan berjaya mengikat penyerang Afghanistan, Mustafa Zazai, selama setahun untuk mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga-M) yang akan membuka tirai bulan depan.

KAFA, dalam kenyataan rasminya, berkata penyerang berusia 26 tahun itu yang mempunyai pengalaman luas beraksi di Liga Eropah  dan Asia, berjaya memikat panel kejurulatihan yang diketuai Pengarah Teknikal The Red Warriors (TRW), Jorg Peter Steinebrunner, dalam beberapa aksi persahabatan sebelum ini.

Malah, Mustafa yang juga bekas penyerang Kelab Phrae United dalam Liga Thailand, berjaya menjaringkan gol sagu hati Kelantan semasa tumpas 4-1 kepada Kedah, baru-baru ini.

Dalam kenyataan rasmi itu juga, KAFA mengharapkan Mustafa dapat menggunakan segala pengalamannya bagi membantu Kelantan mengharungi saingan Liga Perdana yang dijangka semakin mencabar.

Sementara itu, Mustafa menganggap rezeki berpihak kepadanya dan berjanji akan mempamerkan aksi terbaik untuk membantu TRW mencipta kejayaan musim ini, sekali gus kembali ke Liga Super, musim depan.

"Alhamdulillah, rezeki berpihak kepada saya untuk menyarung jersi TRW musim ini biarpun ramai penyerang import hadir mencuba nasib.

"Saya akan lakukan yang terbaik dan tentunya ini peluang terbaik saya mencipta nama dalam Liga-M bersama Kelantan," katanya.

Untuk rekod, Kelantan berjaya melengkapkan kuota awang import musim ini apabila mengekalkan pertahanan kental, Cassio De Jesus, pemain tengah kelahiran Brazil, Flavio Beck Junior dan Yuta Suzuki dari Jepun.

Tentang Penulis

Farizal Yusoff

Komen