Jurulatih pasukan negara, Tan Cheng Hoe, berkata walaupun anak buahnya berjaya melakar kemenangan 1-0, mereka dilihat berhempas-pulas untuk menyaingi kekuatan Fiji, terutama melibatkan aspek fizikal, dalam perlawanan persahabatan antarabangsa, malam tadi.

"Ia satu perlawanan yang sukar untuk kami kerana bukan mudah untuk menandingi kekuatan fizikal pemain Fiji," katanya selepas perlawanan di Stadium BolaSepak Kuala Lumpur, Cheras itu.

Malaysia turun berdepan Fiji dengan status ranking lebih rendah berbanding lawan, iaitu berada di kedudukan ke-171 manakala Fiji di tangga ke-165 dunia.

Namun, skuad Harimau Malaya tetap dianggap pasukan pilihan susulan barisan pemain lawan yang rata-ratanya dibarisi pemain amatur.

Gawang skuad negara nyaris-nyaris bocor seawal minit ketiga, namun mujur percubaan pemain Fiji, Christopher Wassala, terkena tiang gol.

Buntu untuk memburu jaringan dalam tempoh 18 minit pertama, skuad negara akhirnya berjaya membuka jaringan pada minit ke-19.

Berpunca daripada gerakan Nazmi Faiz Mansor, hantaran lintang Mohd Syazwan Zainon kemudian berjaya disudahkan penyerang, Muhammad Syafiq Ahmad.

Begitupun, Syafiq terpaksa diusung keluar sebaik golnya itu kerana ditimpa kecederaan dan digantikan dengan Shafiq Shaharudin yang gagal menyerlah.

Aksi babak kedua menyaksikan anak buah Cheng Hoe meneruskan corak permainan menyerang dalam usaha menambah jaringan.

Gol kedua skuad negara hampir menjelma pada minit ke-54, namun jaringan pemain gantian Wan Zack Haikal Wan Noor dibatalkan gara-gara ofsaid.

Tiada tambahan jaringan dan kedudukan 1-0 kekal memihak skuad negara sehingga wisel penamat.

Dalam pada itu, jurulatih Fiji, Christophe Gamel, berkata: "Ini adalah perlawanan di antara pemain amatur dan profesional.

"Saya menukar taktikal kerana pemain nombor 10 (Nazmi) banyak memberikan masalah kepada kami."