Emerson Palmieri percaya kemenangan di pentas final Liga Europa ke atas Arsenal akan melengkapkan impian musim pertama Chelsea di bawah bimbingan Maurizio Sarri.

The Blues berpeluang untuk menjulang trofi utama di penghujung musim ini apabila bakal melakukan perhitungan dengan seteru London itu di Baku, Rabu depan.

Menjulang trofi sambil menduduki tangga ketiga Liga Perdana Inggeris akan membantu Sarri mengukuhkan perancangan taktikal serta kekuatan pada musim kedua bersama Chelsea walaupun ia tampak masih samar.

Tatkala pengendali dari Itali itu menegaskan masa depannya tidak boleh ditentukan hanya menerusi satu perlawanan, Emerson berfikir bahawa kejayaan Liga Europa mampu mencipta pengecualian.

"Ia aksi setempat dan final, jadi kami tidak boleh melihatnya sebagai perlawanan lain yang sering kami hadapi," ujar bek kiri itu.

"Saya menjangkakan Arsenal akan tampil sangat agresif sejak awal kerana mereka gagal menduduki tangga keempat liga.

"Kami berjaya mengesahkan tempat ke Liga Juara-Juara Eropah dan kejayaan menjulang trofi Liga Europa akan menjadikan impian musim ini satu kenyataan. Jadi, kami berharap dapat melakukannya.

"Bagi saya, ia adalah satu kepuasan. Saya beraksi dalam banyak perlawanan dan untuk memenangi perlawanan sebegini, ia menjadikan anda pemain penting."

Emerson tidak menarik banyak perhatian dalam Liga Perdana Inggeris tetapi menikmati lebih banyak waktu permainan di pentas Liga Europa dan beraksi dalam kedua-dua aksi separuh akhir bertemu Eintrach Frankfurt.

"Saya rasa saya telah melakukannya dengan baik," tambah pemain berusia 24 tahun itu.

"Saya telah membuktikan bahawa saya telah matang untuk beraksi di peringkat ini, dalam kejohanan ini.

"Saya hanya beraksi sekali dalam kejohanan ini sewaktu di Roma tetapi kami gagal melepasi pusingan 16. Kini, kami berpeluang beraksi dalam final.

"Saya sangat berharap kami dapat membawa pulang trofi bersama rakan sepasukan, kelab serta peminat."