Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak menjadikan separuh akhir sebagai asas sasaran kepada skuad bola sepak wanita negara dalam kempen Kejohanan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) di Palembang, Indonesia, dari 30 Jun hingga 13 Julai ini.

Sebaliknya, skuad negara hanya meletakkan dua kemenangan sebagai objektif yang perlu dicapai dalam saingan Kumpulan A.

Pengerusi Bolasepak Wanita FAM, Datuk Suraya Yaacob, yang juga pengurus pasukan, sedar ia satu misi mustahil untuk menewaskan dua pasukan pilihan, iaitu Thailand dan Australia.

Sehubungan itu, beliau tidak meletakkan tekanan kepada anak buah Jacob Joseph itu untuk mara ke separuh akhir kerana sedar sejauh mana kekuatan skuad negara.

Suraya mahu pasukan wanita negara hanya fokuskan kemenangan ketika berdepan dua lagi pencabar, Timor-Leste dan Kemboja.

"Saya berharap jurulatih boleh memberikan sentuhan ajaib kepada pemain. Bagaimanapun, kami tidak memberikan harapan tinggi kepada pemain. Cukup untuk mendapat enam mata di sana.

"Dengan itu, ia satu permulaan sebelum kami menghadapi Sukan SEA sekali lagi di Filipina," kata Suraya.

Sementara itu, Jacob menjelaskan ia satu tugas sukar buat dirinya untuk membentuk skuad mantap seperti pasukan yang pernah mara ke separuh akhir Sukan SEA 2013 di Myanmar.

"Saya tinggalkan pasukan 2013, skuad itu paling bagus. Sebab itu mereka boleh layak ke separuh akhir Sukan SEA. Selepas itu, pasukan ketinggalan semula.

"Jadi, saya mahu bina semula pasukan. Tetapi, dengan masa yang singkat ini, saya tidak boleh buat apa-apa. Nanti Sukan SEA di Filipina tahun depan, mungkin mereka berwajah baru," kata Jacob.

Pasukan bola sepak wanita bakal terbang ke Thailand, Rabu ini, bagi menghadapi tiga perlawanan persahabatan bertemu Thailand dan Chonburi FC, bermula Jumaat hingga 12 Jun ini.