Ketua jurulatih skuad B-22 negara, Datuk Ong Kim Swee, menyifatkan keputusan Singapura untuk menarik diri daripada Kejohanan AFF B-22 di Kemboja bulan depan sebagai merugikan pasukannya menjelang kempen Kejohanan Kelayakan AFC B-23, Mac depan.

Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) mengumumkan penarikan diri Singapura dan Brunei daripada kejohanan yang kali pertama dianjurkan itu.

Tanpa menyatakan sebarang sebab mengenai penarikan diri dua pasukan itu, Kejohanan AFF B-22 hanya akan disertai sembilan negara.

Malaysia, yang diundi dalam Kumpulan B, hanya akan beraksi dalam tiga perlawanan peringkat kumpulan berbanding empat.

"Ia merupakan pendedahan yang cukup baik memandangkan pasukan-pasukan dari Asia Tenggara memerlukan lebih perlawanan kompetitif sebelum menghadapi kelayakan Kejohanan AFC.

"Dengan penarikan diri Singapura, kami akan kekurangan satu perlawanan," katanya.

Skuad muda negara dijangka berdepan cabaran hebat daripada Myanmar dan Indonesia yang turut menghiasi Kumpulan B.

Namun, keupayaan tuan rumah, Kemboja, tidak boleh dipandang sepi dengan kejohanan itu akan menjadi medan penilaian buat Kim Swee untuk memilih barisan terbaik bagi menghadapi ujian lebih getir sebulan selepas itu.

"Tujuan kami menyertai Kejohanan AFF adalah untuk mendedahkan pemain terhadap keamatan perlawanan di peringkat umur yang sama.

"Ia bagus untuk mempersiapkan pasukan menjelang kelayakan Kejohanan AFC pada Mac," tambahnya.