Kejohanan AFF B-22: Thivandaran tagih kepercayaan Kim Swee

Oleh Staff Writer 21 Februari 2019 695
Kejohanan AFF B-22: Thivandaran tagih kepercayaan Kim Swee
Penggempur skuad B-22 negara, K. Thivandaran, berharap aksi ketika menentang Indonesia semalam memadai untuk menambat hati pengendali, Datuk Ong Kim Swee, untuk terus menggunakan kudratnya menjelang aksi penting peringkat kumpulan Kejohanan AFF 2019 menentang Myanmar esok.

Perjalanan untuk berada dalam kesebelasan utama skuad menjadi satu kisah yang panjang buat bekas pemain Akademi Frenz United itu.

Dia sebenarnya tidak berada dalam perancangan awal Kim Swee sebelum diserap sebagai pengganti saat -saat akhir kepada lima pemain yang gagal memperoleh pelepasan pasukan masing-masing.

Thivandaran yang  diketepikan dalam aksi pertama menentang Kemboja mengambil tempat R. Kogileswaran yang dibelenggu kecederaan.

Beraksi sebagai sokongan kepada dua penyerang, Jaffri Firdaus Chew dan Hadi Fayyadh Abdul Razak, sumbangan Thivandaran menerusi siri hantaran kemas dilihat tidak meraih perhatian.

Namun, dia yakin Kim Swee memandang dekat terhadap prestasi setiap permain, termasuk dia, untuk terus mendapatkan sentuhan terbaik menjelang aksi esok.

"Saya sangat gembira kerana jurulatih memberi peluang untuk berada dalam kesebelasan utama. Saya hanya cuba berikan aksi terbaik," katanya.

"Dalam aksi seterusnya, saya perlu perbaiki aspek hantaran serta permainan berpasukan. Namun, saya tetap yakin dengan kemampuan rakan sepasukan. Mereka juga sentiasa memberi semangat kepada saya walaupun setelah melakukan kesilapan."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen