Perubahan venue untuk aksi terakhir Kumpulan B, Kejohanan AFF B-22 2019 esok bakal memberikan Malaysia medan untuk tampil dengan corak permainan sebenar dan menafikan peluang Myanmar ke peringkat seterusnya.

Perubahan jadual bakal menyaksikan pertembungan Malaysia dan Myanmar berlangsung di Stadium RSN sambil aksi di antara Kemboja dan Indonesia kekal di Stadium Nasional Phnom Penh.

Perbezaan ketara antara dua venue itu tentunya jenis permukaan padang dengan Stadium RSN menggunakan padang rumput sebenar berbanding tiruan dan ia dilihat lebih sesuai dengan Malaysia.

Kedua-dua perlawanan itu akan berlangsung serentak tatkala Malaysia memerlukan tiga mata untuk ke separuh akhir walaupun keputusan di Stadium Nasional Phnom Penh turut memainkan peranan.

"Selama ini, kami berlatih di atas padang tiruan dan bermain di atas padang yang sama tetapi kami akan berubah kepada rumput biasa.

"Saya percaya situasi ini akan memberikan impak yang berbeza kepada kedua-dua pasukan dan saya percaya ia satu tanda positif. Pemain akan meraih permainan yang lebih baik," kata pengendali skuad kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee.

"Penting untuk kami memikirkan tiga mata dan abaikan apa jua keputusan di antara Kemboja dan Indonesia. Kami perlu mendapatkan kemenangan.

"Saya harap apabila berakhir perlawanan esok, kami meraih sesuatu yang positif tetapi jika sebaliknya berlaku, ia akan memberi pengajaran berguna buat kami."

Dalam masa sama, pertahanan negara yang diketuai Dominic Tan perlu menyerlahkan kemampuan sebenar selepas membenarkan gawang dibolosi tiga kali dalam dua perlawanan.

Gawang Malaysia tewas sekali ketika berdepan Kemboja menerusi jaringan Sath Rosib sambil Indonesia meraih dua gol dalam perlawanan kedua skuad negara semalam.

"Pertahanan Malaysia sudah buat yang terbaik, jadi walaupun kami dibolosi tiga gol dalam dua perlawanan, banyak perkara yang perlu dipelajari dan diperbaiki. Bagi saya, jurulatih akan terangkan segala kelemahan dan setakat ini, semua pemain memberikan komitmen terbaik," ujar Dominic.

Bagaimanapun, Dominic menegaskan Malaysia boleh berbangga dengan hakikat skuad B-22 negara memiliki perwatakan untuk bangkit daripada apa jua cabaran.

"Setiap perlawanan kami perlu ada keinginan untuk menang. Apabila ketinggalan 1-2, saya hanya fikir kami mampu bangkit dalam aksi semalam."