INDONESIA 2 MALAYSIA 2

Peluang skuad B-22 negara meneruskan kemaraan ke peringkat separuh akhir Kejohanan AFF B-22 Tahun tampak sukar apabila sekadar seri 2-2 dengan Indonesia dalam aksi Kumpulan B yang berlangsung di Stadium Nasional Kemboja, sebentar tadi.


Pengendali negara, Datuk Ong Kim Swee, melakukan beberapa pertukaran dalam kesebelasan utama pasukan, namun tetap kekal dengan formasi 3-4-3.

Kapten dan tonggak pertahanan, Dominic Tan, kekal mengemudi benteng, manakala pemain tengah Kelantan, Nik Akif Syahiran Nik Mat, memulakan aksi kali ini dalam kesebelasan utama.

Babak pertama menyaksikan penguasaan seimbang kedua-dua pasukan dengan Indonesia kerap juga menguji benteng negara.

Bagaimanapun, kedua-dua pasukan gagal menemui sentuhan penyudah dalam babak pertama.

Indonesia memulakan perlawanan dengan lebih agresif sejak permulaan separuh masa kedua dan hasilnya, Marinus Wanewar berjaya melepasi kawalan pertahanan negara sebelum menewaskan penjaga gol, Haziq Nadzli, untuk meledak gol pembukaan pada minit ke-52.

Tersentak dengan jaringan itu, barisan negara mula meningkatkan tempo permainan dan hasilnya, Nik Akif menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma 10 minit kemudian.

Ketika Malaysia tampak kembali menemui rentak, Indonesia sekali lagi menemui sasaran dan kali ini menerusi percubaan Witan Sulaeman dari hujung kotak penalti pada minit-72.

Ketika kemenangan seakan-akan diraih Indonesia, barisan negara kembali menyamakan kedudukan menerusi Hadi Fayyadh Abdul Razak pada minit ke-86 bagi memastikan kedua-dua pasukan berkongsi mata.

Malaysia bakal berdepan Myanmar, Jumaat ini, untuk menentukan peluang mereka melangkah ke separuh akhir.

Bercakap dalam sidang media selepas perlawanan berkenaan, Kim Swee memuji persembahan cemerlang yang dipamerkan anak buahnya setelah bangkit dua kali untuk menyamakan kedudukan, sekali gus meraih mata pertama.

“Walaupun ketinggalan, pemain menunjukkan semangat juang yang tinggi dan saya harap mereka boleh pergi jauh selepas ini.

“Ketiadaan beberapa pemain utama selain keadaan padang yang tidak begitu bagus menjejaskan permainan kita, namun kita terpaksa harungi keadaan tersebut dengan apa cara sekalipun tetapi dua ‘set-piece’ yang kita peroleh jelas membawa perbezaan ketara kepada pasukan kita,” jelas Kim Swee.