Malaysia berdepan misi mustahil untuk layak ke separuh akhir Kejohanan AFF B-22 2019 dengan kekalahan kepada Indonesia bakal menjadi penutup pengembaraan Malaysia dalam kejohanan ini.

Persaingan dalam Kumpulan B makin hangat selepas Malaysia tumbang kepada peneraju kumpulan, Kemboja, 0-1 semalam.

Sementara itu, satu lagi keputusan tidak diduga menyaksikan Myanmar hampir menundukkan Indonesia sebelum bangkit mencatat seri 1-1.

Jika tewas menentang Indonesia esok, maka Malaysia boleh mengucapkan selamat tinggal kepada Phnom Penh.

"Sudah tentu ia situasi yang tidak bagus daripada segi keputusan perlawanan.

"Kami tidak menampilkan aksi yang begitu menarik dan saya harus mengucapkan tahniah kepada Kemboja yang berjaya mencetuskan kesukaran buat kami sepanjang perlawanan.

"Kami terpaksa menelan sahaja gelagat pengadil," kata jurulatih skuad B-22 negara, Datuk Ong Kim Swee.

Dalam perkembangan lain, kudrat penyerang, R. Kogileswaran, kini dalam keraguan untuk baki dua aksi peringkat kumpulan selepas mengalami kecederaan ketika menentang Kemboja.

"Sudah tentu akan ada rombakan kerana kami berdepan masalah di bahagian tengah.

"Danial Hakim Draman dan Kogileswaran sudah pasti tersisih untuk perlawanan kedua.

"Namun, saya masih mempunyai pemain yang mampu mengisi kekosongan slot tersebut dan saya yakin dengan kemampuan mereka.

"Kami harus mendapatkan mata dalam perlawanan kedua untuk menghidupkan peluang," tambahnya.