Kejohanan AFF B-22: Malaysia perlu manfaat percaturan Kim Swee

Oleh Staff Writer 17 Februari 2019 432
Kejohanan AFF B-22: Malaysia perlu manfaat percaturan Kim Swee
Pemahaman taktikal skuad negara belum mencapai tahap memuaskan buat pengendali, Datuk Ong Kim Swee, tatkala Malaysia memburu tiga mata dalam aksi pembuka tirai Kejohanan AFF B-22 menentang tuan rumah, Kemboja, esok.

Skuad negara hari ini diberi peluang menguji padang tiruan di venue rasmi, Stadium Nasional Olimpik di Phnom Penh selama satu jam.

Aspek taktikal ketika menyerang dan bertahan terus menjadi perincian Kim Swee ketika anak buahnya sudah biasa beraksi di atas permukaan padang tiruan susulan latihan pusat selama lima hari di Majlis Sukan Negara (MSN).

Tanpa memandang rendah cabaran Kemboja, Kim Swee menegaskan kemenangan ke atas tuan rumah penting untuk memastikan kelayakan ke separuh akhir.

"Tiada sebarang kecederaan dan semua pemain menunjukkan kesungguhan yang cukup baik. Masih ada beberapa kekurangan tetapi masih ada sehari untuk memperbaiki kelemahan kami. Secara keseluruhan, pemain faham apa yang perlu dilakukan dan saya harap ketika perlawanan, tiada lagi kesilapan mudah," katanya.

Keputusan seri atau kalah akan mengundang misi mustahil dalam dua aksi berikutnya menentang Indonesia dan Myanmar berdasarkan aspek kualiti pemain yang disenaraikan.

"Kami harus bermula dengan positif, itu yang penting. Jika mahu ke peringkat seterusnya, kami tidak boleh kalah dan harus mendapatkan mata," kata Kim Swee lagi.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen