Skuad negara seharusnya tidak gentar dalam usaha menampilkan aksi terbaik menjelang Kejohanan AFF B-22 yang bakal bermula dua hari lagi.

Menjejakkan kaki ke Kemboja tanpa sasaran tidak seharusnya menjadi penghalang buat Malaysia untuk sekurang-kurangnya menjadikan penampilan dalam separuh akhir sebagai penanda aras kempen.

"Banyak dugaan yang perlu dilalui oleh pengendali pasukan, Datuk Ong Kim Swee. Ini adalah cabaran yang perlu dia sahut. Saya cukup yakin dengan kemampuannya," kata pengurus skuad B-22 negara, Datuk Seri Subahan Kamal.

"Bagi saya, apabila pemain diberi peluang untuk menyarung jersi kebangsaan, mereka sepatutnya bermain. Pasukan ini akan beraksi dengan baik walaupun tanpa sasaran. Saya rasa kami akan mara ke separuh akhir dengan mudah."

Untuk saingan di Kemboja, Malaysia akan bersandar kepada nama seperti Dominic Tan, Nik Akif Syahiran Nik Mat serta Jaffri Firdaus Chew dalam memainkan peranan selaku tonggak utama sambil Subahan percaya Malaysia akan melihat lebih ramai bintang dalam pembikinan yang menjadikan kejohanan di Kemboja itu sebagai batu loncatan.

"Saya yakin selepas kejohanan ini, akan ada nama baru yang muncul dalam menaikkan bola sepak negara di pentas Asia Tenggara serta Asia," ujarnya.