Ketua jurulatih skuad B-22 Myanmar, Velizar Popov, memberi amaran kepada Malaysia bahawa skuad negara juga boleh menjadi mangsa elemen kejutan.

Malaysia dan Myanmar, yang memperoleh satu mata daripada dua perlawanan, berpeluang mara ke separuh akhir Kejohanan AFF jika memenangi pertembungan di Stadium RSN, Phnom Penh, malam ini, namun perlu mengharapkan tuan rumah, Kemboja, yang sudah layak untuk sekurang-kurangnya mengikat seri Indonesia.

Bagi Popov, saingan Kumpulan B yang dilabel sebagai kumpulan maut sudahpun menghidangkan pelbagai keputusan mengejutkan.

"Di atas kertas, Malaysia dan Indonesia merupakan pasukan pilihan.

"Namun, berdasarkan pengalaman saya dalam bola sepak, ia tidak akan mengganggu prestasi di atas padang.

"Apabila di atas padang, anda berdepan 11 pemain dengan 11 pemain.

"Bagi saya, tiada pasukan pilihan di atas padang.

"Jika ada sesiapa yang memandang rendah keupayaan kami, mereka akan menderita," katanya.