Ketua jurulatih skuad B-22 negara, Datuk Ong Kim Swee, menyasarkan skuad muda negara mampu layak ke peringkat separuh akhir Kejohanan AFF B-22 di Phnom Penh, Kemboja, bermula Isnin ini.

Beliau menegaskan sasaran berkenaan mampu dicapai sekiranya pemainnya memberikan persembahan terbaik dalam kejohanan berkenaan walaupun sempat menjalani latihan singkat selama lima hari sahaja.

"Secara realiti, kita harus bersikap realistik kerana saya ketiadaan beberapa pemain utama, namun kami cuba untuk melayakkan diri ke pusingan seterusnya.

"Tetapi apa yang lebih penting bagi saya, pemain-pemain dapat pendedahan sebelum beraksi dalam pusingan kelayakan Kejohanan AFC Mac nanti," jelas Kim Swee ketika ditemui pemberita sebelum skuad negara berlepas ke Kemboja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Beliau mendedahkan beberapa pasukan telah membuat persediaan awal, termasuk Myanmar, yang mengambil keputusan menghentikan liga mereka selama sebulan bagi memberi laluan kepada skuad B-22 mereka menjalani latihan rapi selain Indonesia yang telah menjalani latihan sejak dua minggu lalu.

Persiapan skuad B-22 negara sebelum ini dilaporkan terjejas susulan keengganan beberapa pasukan melepaskan pemain mereka bagi mewakili negara dalam kejohanan berkenaan.

Kim Swee telah menyenaraikan 23 pemain untuk menggalas cabaran negara dalam kejohanan itu yang kali terakhir diadakan pada 2005.

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan B akan memulakan kempen berdepan tuan rumah, Kemboja, Isnin ini, diikuti Indonesia (Rabu), sebelum menamatkan aksi pusingan awal menentang Myanmar, dua hari kemudian.

Juara bertahan, Thailand, mengetuai cabaran Kumpulan A bersama Vietnam, Timor-Leste dan Filipina. Tiga pasukan, iaitu Singapura, Brunei dan Laos mengambil keputusan menarik diri daripada kejohanan berkenaan tetapi tidak menyatakan punca mereka berbuat demikian.

Berdasarkan format kejohanan, dua pasukan teratas daripada kumpulan A dan B akan ke separuh akhir pada 24 Februari manakala aksi final dijadual pada 26 Februari dengan semua perlawanan akan berlangsung di Stadium Olimpik Nasional, Phnom Penh.

Senarai 23 pemain:

Muhammad Azri Ab Ghani, Ahmad Tasnim Fitri Mohd Nasir (Felda United); Nik Akif Syahiran Nik Mat, Muhammad Danial Haqim Draman, Muhamad Shahrul Nizam Ros Hasni, Nik Azli Nik Alias (Kelantan); R. Kogileswaran, R. Dinesh (Pahang); Damien Lim Chien Khai, Muhammad Jafri Muhammad Firdaus Chew, Ariff Ar-Rasyid Ariffin (PKNS FC)

Evan Wensley Wenceslaus, Ariusdius Jais (Sabah); Muhammad Haziq Nadzli, Dominic Tan Jun Jin (JDT); Mohamad Hariz Kamarudin (JDT II); Muhammad Amirul Ashraf Ariffin (UiTM FC); Muhammad Nazirul Afif Ibrahim (Perak); Nabil Hakim Bokhari (Kuala Lumpur); Muhammad Izzan Syahmi Mustapa (Terengganu FC); Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak (Fagiano Okayama), K. Thivandaran (Petaling Jaya City FC); Danish Haziq Saipul Hisham (Negeri Sembilan).

-- BERNAMA