Ketua jurulatih skuad B-22 negara, Datuk Ong Kim Swee, memuji semangat melawan pemain-pemainnya ketika bangkit menyelamatkan kempen Kejohanan AFF di Kemboja dengan mengikat Indonesia 2-2, semalam.

Malaysia perlu berterima kasih kepada Nik Akif Syahiran Nik Mat dan Hadi Fayyadh Abdul Razak yang menjaringkan gol penting dalam perlawanan itu.

Nik Akif menerusi sepakan percumanya menjadikan kedudukan 1-1 pada minit ke-61 sebelum Hadi Fayyadh menyumbat masuk jaringan penyamaan buat kali kedua, lima minit sebelum tamat perlawanan.

"Mereka dilatih untuk berdepan situasi seperti itu.

"Mereka tahu apa kekuatan mereka.

"Kami ke sini tanpa beberapa pemain tonggak.

"Permukaan padang juga tidak cukup baik untuk kami beraksi.

"Namun, kami perlu lakukan apa yang sepatutnya dilakukan.

"Gerakan bola mati membuktikan ia mampu memberikan perbezaan buat pasukan ini.

"Kami masih berpeluang dan perlu fokus dalam setiap perlawanan.

"Indonesia sentiasa ancaman terbesar, namun pemain kami juga sentiasa memaparkan kebangkitan," kata Kim Swee.

Kim Swee, bagaimanapun, menegaskan keperluan untuk memenangi aksi terakhir peringkat kumpulan menentang Myanmar esok.

Ia ketika keputusan di antara Kemboja dan Indonesia juga bakal menjadi penentu terhadap kemaraan Malaysia ke separuh akhir.

"Dengan satu mata, kami masih berpeluang.

"Kami memerlukan kemenangan ke atas Myanmar untuk layak ke separuh akhir," tambahnya.

Sementara itu, ketua jurulatih Indonesia, Indra Sjafri, bingung memikirkan mengapa pasukannya gagal mematikan cabaran Malaysia.

Pada masa sama, dia akur skuad negara bijak memanfaatkan situasi bola mati dan kelebihan fizikal milik Hadi Fayyadh.

Berdasarkan kedudukan dalam Kumpulan B, Indonesia berpeluang ke separuh akhir jika mereka menewaskan Kemboja tanpa perlu menghiraukan keputusan Malaysia dengan Myanmar.

"Sejak minit pertama hingga akhir, mereka sentiasa memberikan tentangan dan memaksa kami untuk bersaing hebat.

"Datuk Ong seakan-akan sudah mengkaji corak permainan kami.

"Malangnya kami gagal memanfaatkan penguasaan permainan.

"Beberapa kesilapan individu menyekat kemenangan kami," katanya.