Pengendali skuad B-22 negara, Datuk Ong Kim Swee, lebih gusar dengan jentera serangan berbanding benteng pasukannya sambil menegaskan keserasian pasukan hanya akan terbentuk dalam ujian pertama menentang Kemboja dalam Kejohanan AFF, malam ini.

Kim Swee dijangka mempertaruhkan formasi 3-4-3 berdasarkan kualiti yang dimiliki 23 pemain tersenarai.

Dominic Tan dan Ariff Ar-Rasyid Ariffin hampir pasti memainkan peranan sebagai harapan utama di bahagian pertahanan sambil diketuai penjaga gawang, Haziq Nadzli.

"Kami mempunyai Haziq dan Dominic untuk membimbing pemain baru.

"Saya menjangkakan mereka akan terus mendapatkan keserasian dalam perlawanan pertama.

"Namun, mereka pasti akan bertambah baik dalam setiap perlawanan," kata Kim Swee.

Sementara itu, tugas di bahagian tengah akan dipikul bakat yang sedang meningkat naik seperti pemain muda Kelantan, Danial Hakim Draman.

Jentera serangan pula akan menyaksikan Jafri Firdaus Chew, Hadi Fayyadh Abdul Razak dan R. Kogileswaran digandingkan sebagai kombinasi utama.

"Bahagian depan tidak mempunyai banyak masalah kecuali jaringan.

"Kami mempunyai Jafri, Hadi dan beberapa pemain lain yang boleh bermain di bahagian atas.

"Saya yakin mereka dapat melakukan tugas dengan baik, bukan sekadar untuk menjaringkan gol tetapi juga bekerja sebagai satu pasukan.

"Kami sedar Kemboja merupakan tuan rumah dan mereka telah menjalani persiapan yang lebih baik berbanding kami.

"Kami tidak boleh mengambil kira keputusan lalu dan perlu berwaspada dari minit pertama," tambahnya.