Pemain Negeri Sembilan, Muhamad Danish Haziq Saipul Hisham, enggan sekadar menjadi pelengkap pasukan apabila dipilih pada saat-saat akhir dalam Kejohanan AFF B-22, sebaliknya ingin terus mengukuhkan tempat dalam skuad utama di Kemboja.

Danish menjadi pilihan pengendali negara, Datuk Ong Kim Swee, bagi menggantikan Syahmi Safari di posisi pertahanan kanan gara-gara tidak mendapat pelepasan Selangor untuk melaporkan diri ke kem latihan pusat kebangsaan.

Pemain berusia 22 tahun itu menganggap peluang kedua yang diperoleh selepas digugurkan tidak boleh disia-siakan dalam misinya menebus prestasi hambar yang ditampilkannya dalam siri tiga perlawanan persahabatan di Bangkok, Thailand, bulan lalu.

Danish sebelum ini dihimpit kecederaan lutut serius ketika pra-musim 2017 yang memaksanya berehat panjang dan diketepikan daripada skuad kebangsaan dalam tempoh yang agak lama.

"Sudah semestinya saya mahu merebut tempat dalam kesebelasan, tiada siapa yang mahu sekadar menjadi pelengkap pasukan.

"Saya perlu balas kepercayaan yang diberikan jurulatih," katanya.

Skuad negara yang berlepas ke Kemboja hari ini bakal berdepan tuan rumah untuk aksi pembukaan Kumpulan B, Isnin ini.

Danish yang hanya dipanggil lima hari lalu perlu memanfaatkan baki dua hari latihan untuk memantapkan lagi prestasi sebelum saingan bermula.

"Tidak kira siapa yang akan diturunkan nanti, semua pemain mahu beraksi tetapi kejayaan sebagai sebuah pasukan perlu diberikan keutamaan.

"Saya harap kami boleh mara jauh dalam Kejohanan AFF B-22 ini," katanya.