Penyerang skuad B-19 negara, Lukman Hakim Shamsuddin, bertekad membuktikan skuad terkini juga mampu meraih gelaran juara biarpun majoriti pemainnya adalah muka baru.

Lukman bertegas bahawa skuad B-19 yang kini di bawah kendalian Brad Maloney memiliki kelebihan tersendiri untuk bersaing dalam Kejohanan AFF B-19 di Vietnam dari 6 hingga 19 Ogos ini.

Turun ke Bandaraya Ho Chi Minh dengan kredibiliti selaku juara bertahan, dia tidak mahu rakan sepasukan yang lain berasa tertekan.

Malah, dia menegaskan kejayaan edisi lalu mampu diulangi dan skuad kini adalah lebih baik daripada skuad kendalian Bojan Hodak sebelum ini.

"Bukannya saya nak tunjukkan bahawa skuad sebelum ini tidak bagus, saya cuma ingin buktikan skuad kali ini lebih bagus.

"Sukar untuk membezakan kualiti di antara kedua-dua pasukan tetapi kami mahu membuktikan keupayaan dengan mempertahankan kejuaraan," katanya yang ditemui dalam latihan di Wisma FAM, Petaling Jaya.

Lukman antara pemain yang menyerlah dalam Kejohanan AFC B-17 pada 2018.

Selain muncul selaku penjaring terbanyak ketika itu, dia juga diramal bakal menjadi watak penting untuk skuad bimbingan Maloney itu.

"Kami perlu menerapkan semangat berpasukan memandangkan pasukan ini baru dibentuk.

"Kami perlu menonjolkan semangat juang yang lebih tinggi apabila bermain untuk negara," katanya lagi.