Kejohanan AFF B-18: Skuad negara terus jadi igauan Indonesia

Oleh Staff Writer 17 Ogos 2019 19344
Kejohanan AFF B-18: Skuad negara terus jadi igauan Indonesia
INDONESIA 3 MALAYSIA 4

Bukan dua tapi tiga kali Malaysia berjaya mengatasi Indonesia di peringkat separuh akhir untuk melangkah ke final Kejohanan AFF B-18 di Stadium Binh Duong, Bandaraya Ho Chi Minh, sebentar tadi.


Indonesia mara ke separuh akhir menerusi persembahan cemerlang dalam saingan Kumpulan A, meraih 13 mata menerusi empat kemenangan dan satu seri.

Malaysia pula, yang tewas kepada Thailand dalam aksi terakhir Kumpulan B, dibantu kejayaan Kemboja yang mengatasi Vietnam untuk membenarkan skuad remaja negara menghidupkan peluang untuk mempertahankan gelaran yang dimenangi tahun lalu.

Untuk rekod, ini merupakan aksi ulangan edisi 2017 dan 2018 dengan Malaysia meraih kemenangan menerusi penentuan sepakan penalti.

Ketiadaan kelibat penjaga gol, Firdaus Irman Mohd Fadhil, mencuri tumpuan apabila direhatkan untuk memberi peluang kepada Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman melengkapkan kesebelasan utama. 

Kedua-dua pasukan menampilkan corak permainan pantas dengan saling mengasak dalam babak pertama, dengan skuad bimbingan Brad Maloney itu menyerap tekanan untuk menidakkan gol awal lawan.

Sebaliknya, semangat yang ditampilkan skuad muda negara diterjemahkan dengan jaringan pembukaan pada minit ke-19 menerusi Mohd Aiman Afif apabila menampan masuk sepakan percuma Muhammad Mukhairi Ajmal untuk menewaskan penjaga gol Indonesia, Fernando Ari Sutaryadi.

Namun, sebelum wisel babak awal ditiupkan, Beckham Putra Nugraha menceriakan kem Indonesia apabila melepaskan rembatan cantik untuk mengikat kedudukan.

Malaysia mempamerkan kebangkitan dalam babak kedua dengan meledak gol kedua menerusi Luqman Hakim Shamsudin pada minit ke-55.

Dua gol pantas daripada Indonesia yang diledak oleh Muhammad Fajar Fathur Rachman dan Muhammad Salman Alfarid membenarkan anak buah Fakhri Husaini Usai itu mendahului permainan buat kali pertama.

Kelebihan itu, bagaimanapun, bersifat sementara apabila juara bertahan itu dihadiahkan sepakan penalti yang tenang disempurnakan Harith Haiqal Adam Afkar tatkala aksi permainan sebenar berbaki enam minit.

Dengan lampu limpah stadium mula dinyalakan dan selepas menyelamatkan Malaysia daripada ketinggalan, Harith Haiqal sekali lagi menjadi wira negara apabila berjaya menyumbangkan jaringan kedua peribadinya pada minit ke-98.

Indonesia melancarkan serangan bertali arus untuk mencari gol penyamaan -- termasuk percubaan yang menggegar tiang gol -- yang hampir mengheret ke penentuan penalti, namun anak buah Maloney itu mempertingkatkan permainan bertahan bagi menjamin tempat dalam final.

Keputusan lain: 

AUSTRALIA 2 MYANMAR 1 

 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen