Jurulatih skuad B-18 negara, Brad Maloney, mengutamakan kecemerlangan barisan pemainnya di Stadium Thanh Long semalam walaupun lawan yang dihadapi adalah pasukan Australia.

Ketika ditanya adakah ia kepuasan berbeza apabila barisan pemainya berjaya mengatasi negara kelahirannya itu 3-0, bekas tonggak tengah pasukan kebangsaan negara itu terdiam seketika, namun tenang menjawab sebagai seorang yang profesional, kecemerlangan anak didiknya adalah segala-galanya.

Apabila barisan negara cemerlang menundukkan Australia 3-0, Maloney menganggap pemainnya sudah mula mendapat rentak dengan mempamerkan peningkatan aksi dalam saban perlawanan.

"Australia akan tetap menjadi pasukan pilihan dalam kejohanan ini. Kami sedar ini satu perlawanan yang sukar kerana mereka sangat kompetitif dan sebuah pasukan yang mantap.

"Saya yakin Australia akan ke separuh akhir, seterusnya ke final manakala nasib kami perlu ditentukan sendiri," katanya.

Sementara itu, rakan sejawatnya di kem Australia, Gary van Egmond, mengakui pasukannya tiada persediaan untuk menghadapi Malaysia.

Ekoran sikap mengambil mudah itu, mereka terpaksa berhadapan kesukaran yang tidak dijangka dan akhirnya memakan diri sendiri.

"Berdepan sebuah pasukan yang gemar melakukan serangan balas, mereka akan saling berusaha keras.

"Kami gagal membuat keputusan dan mencari ruang di kedudukan tertentu untuk menembusi pertahanan lawan.

"Ini pengajaran berguna buat kami agar tidak dihukum sebegini lagi," katanya.