Malaysia mampu berbangga dengan pemain negara.

Itu tegas jurulatih skuad B-18 negara, Brad Maloney, sekali gus menanamkan lagi keyakinan bahawa skuad muda mampu itu mencetak kejayaan menerusi kelebihan yang ada dengan halangan akhir malam ini adalah mengatasi skuad negara kelahirannya sendiri.

Dengan hanya persediaan selama dua minggu sebelum ke Bandaraya Ho Chi Minh, Vietnam, untuk menghadapi Kejohanan AFF B-18, pencapaian mereka kini sudah mengatasi sasaran.

Skuad B-18 negara semakin hampir untuk mempertahankan gelaran, tiada lagi istilah perbezaan langit dengan bumi di antara Malaysia dan Australia.

Bagi Maloney, hanya pasukan yang kurang mencetak kesilapan mampu menembusi tembok sukar untuk dinobatkan juara dalam pertemuan di Stadium Thong Nhat itu.

"Barisan pemain telah melalui perjalanan yang jauh dalam tempoh yang singkat.

"Mereka menyesuaikan diri dengan apa yang kami arahkan, mereka menjalankan setiap tugasan dalam setiap perlawanan.

"Saya amat berbangga dengan apa yang telah ditunjukkan mereka," kata bekas pemain tengah Socceroos itu.

Lebih melegakan, skuad muda negara tidak berdepan sebarang kecederaan serius atau sebarang penggantungan yang merencatkan perancangannya menjelang aksi penentuan itu.

"Mereka telah memaparkan sesuatu yang luar biasa.

"Untuk bangkit daripada ketinggalan pada satu ketika, ia sesuatu yang baik untuk pemain supaya tidak berputus asa.

"Kini, ia tentang fokus dalam perlawanan berikutnya, pulih dengan sebaik-baiknya.

"Kami perlu menilai kecegasan pemain dan tahap kesihatan mereka," tambahnya.