Pertemuan dengan Indonesia adalah yang paling sukar buat skuad muda negara sepanjang Kejohanan AFF B-18 2019 di Bandaraya Ho Chi Minh, Vietnam.

Tampak jelas tuntutan barisan Brad Maloney itu bukan aksi di atas padang semata-mata, sebaliknya ia juga menguji kekuatan mental setiap pemain.

Indonesia memiliki kelebihan berehat sehảri menjelang perlawanan separuh akhir bertemu Malaysia di Stadium Binh Duong, malam tadi.

Jelas, ia memberikan kelebihan buat skuad bimbingan Fakhri Hussaini itu sehingga Maloney memilih untuk lebih bersedia dengan mengandaikan perlawanan tidak mungkin akan berakhir dalam tempoh 90 minit.

"Indonesia mempunyai cuti lebih sehari daripada kami sementara ada sesetengah pemainnya beraksi di kemuncak prestasi.

"Tetapi anak buah saya mampu bersaing dengan mereka dan saya sangat berpuas hati dengan kemenangan ini," kata bekas tonggak tengah Australia itu.

Dalam pada itu, jurulatih skuad B-18 Indonesia itu menganggap kelebihan Malaysia terarah kepada situasi bola pegun yang sering memberi kesukaran buat pasukan kendaliannya.

"Indonesia dibolosi empat gol, tiga daripadanya menerusi percubaan situasi bola mati -- satu penalti dan dua sepakan percuma.

"Namun, saya tetap berbangga dengan aksi yang dipamerkan pasukan Indonesia, mereka bermain dengan penuh berdisiplin sepanjang kejohanan," katanya.

Fakhri, bagaimanapun, enggan mengulas panjang sebaik ditanya taktikal skuad muda negara yang lebih banyak bertahan.