Penjaga gol skuad B-18 negara, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman, mengakui gagal beraksi dengan sempurna hingga pada satu ketika gagal mengawal gemuruh dan menyerap tekanan sepanjang 120 minit perlawanan ketika mengatasi Indonesia 4-3 dalam separuh akhir Kejohanan AFF B-18 di Bandaraya Ho Chi Minh, Vietnam, semalam.

Semangat sepasukan menjadi penguat semangat buat Sikh Izhan untuk bangkit sebaik dia gagal menafikan tiga jaringan Indonesia yang membuatkan Malaysia ketinggalan buat seketika.

Sikh Izhan mengakui ketika itu, dia amat terkesan dengan situasi, namun semangat perjuangan yang begitu kuat dalam kalangan rakan-rakan menjadikan dia kembali bangkit daripada kesilapan.

"Rakan sepasukan banyak memberikan sokongan dan semangat kepada saya untuk terus mempamerkan aksi cemerlang dalam perlawanan ini. Kami akan cuba menampilkan permainan yang lebih cemerlang untuk memastikan kejuaraan milik Malaysia," katanya.

Sementara itu, pemain tengah negara, Umar Hakeem Suhar Rezwan, menganggap kekalahan kepada Thailand antara pemangkin skuad negara itu.

Banyak pengajaran yang berlaku selepas aksi dengan Thailand membuatkan skuad B-18 negara semampunya mengelak daripada mengulangi hampa.

"Kemenangan ini semestinya berkait rapat dengan kekalahan kepada Thailand. Terdapat hikmah daripada keputusan mengecewakan (Khamis lalu), kami berjaya menampilkan aksi yang lebih fokus ketika bertemu Indonesia," kata Umar.