Kejohanan AFF B-18: Menang skuad Lim Teong Kim, kalah barisan Brad Maloney?

Oleh Staff Writer 16 Ogos 2019 71782
Kejohanan AFF B-18: Menang skuad Lim Teong Kim, kalah barisan Brad Maloney?
Itu persoalan yang dilontarkan pengurus skuad B-18 negara, Datuk Kamarul Ariffin Mohd Sahar, merujuk kepada pandangan tidak konsisten sesetengah pihak melibatkan aksi skuad itu dalam Kejohanan AFF B-18 di Bandaraya Ho Chi Minh, Vietnam.

Deretan tiga kemenangan sebelum ini membawa pujian melangit betapa skuad yang dilabel sebagai anak didik Lim Teong Kim itu melewati perkembangan prestasi.

Namun, sebaik kekalahan tipis 1-0 Malaysia kepada Thailand, kecaman mula kedengaran betapa skuad itu gagal atas sebab badan induk Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang mula mengambil alih pengurusan skuad itu sejak awal tahun lalu.

Hal itu menimbulkan rasa tidak puas hati Kamarul Ariffin yang menegaskan skuad muda itu memerlukan sokongan, bukannya kecaman berat sebelah.

"(Brad) Maloney membimbing pasukan ini 12 hari sebelum berangkat ke Vietnam. Seperti apa yang dapat anda lihat, Vietnam dan Thailand gagal ke separuh akhir. Mereka merupakan kuasa besar bola sepak Asia Tenggara," katanya.

"Saya berharap semua pihak mendoakan kejayaan pasukan ini daripada mengecam di sebalik kekalahan ini. Jangan bila kalah, ini skuad Brad Maloney, jika menang, skuad ini telah dibentuk oleh pengendali lain."

Tegasnya lagi, kekalahan semalam bukan ukuran sebenar skuad yang telah dibentuk Maloney dalam masa 12 hari sebelum tiba di Vietnam.

Malah. Kamarul Ariffin yakin kehampaan mereka akan segera ditebus menjelang pertemuan separuh akhir dengan Indonesia.

"Kami telah melupakan kekalahan kepada Thailand dan cuba berusaha untuk kembali membuktikan kebolehan sebenar ketika berdepan Indonesia untuk mara ke final," tambahnya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen