Ketua jurulatih skuad B-18 negara, Brad Maloney, tidak menganggap kemenangan 3-0 dalam aksi peringkat kumpulan tempoh hari sebagai tafsiran mudah untuk anak buahnya berasa selesa menjelang final di Stadium Thanh Long, hari ini.

Siapa sangka Malaysia cemerlang mencatat kemenangan selesa 3-0 dalam aksi peringkat kumpulan tetapi Maloney segera menegaskan tiada apa yang mampu dibanggakan andai anak buahnya gagal mengulangi kejayaan yang sama dalam saingan final kali ini.

Tegas pengendali itu, tiada istilah jalan mudah kerana kekuatan Australia mampu hadir dalam pelbagai segi.

"Australia begitu biasa dengan kami. Mereka melakukan persiapan, mencuba pelbagai perkara dan pemain, jadi saya tidak boleh fikirkan keputusan sebelum ini," katanya.

Pengendali berusia 47 tahun itu kekal selesa dengan melihat Australia sebagai pasukan pilihan dan yakin aksi kali ini bukan mudah kerana perangkaan skuad negara kelahirannya itu lebih teliti selepas dimalukan Malaysia tempoh hari.

"Mereka memberi kami cabaran sukar ketika peringkat kumpulan. Kini, mereka dalam final dan saya menjangkakan mereka akan memberi saingan lebih sukar."

Sementara itu, bekas jurulatih negara, B. Sathianathan, menegaskan skuad B-18 negara perlu mendominasi permainan dalam aksi final menentang Australia.

Dia percaya pendekatan tatkikal menerusi penguasaan bola mampu memastikan anak buah Maloney itu menyaingi lawan di sepanjang permainan untuk mencapai kemenangan.

"Saya nampak apa yang dilakukan Maloney berhasil tetapi dalam final nanti, saya harap mereka mendominasi penguasaan bola. Apabila bertahan, usah beri banyak ruang untuk lawan memegang kawasan tengah," katanya.

Ketua jurulatih Selangor itu juga menjangkakan skuad muda 'Harimau Malaya' berdepan cabaran berbeza bertemu Australia di pentas final biarpun menewaskan lawan 3-0 dalam aksi peringkat kumpulan.

"Dengan Australia, kita perlu berwaspada daripada segi pertahanan kerana mereka tampak matang. Walaupun Malaysia menang sebelum ini, ia tidak menjamin apa-apa."