Ketua jurulatih skuad B-18 kebangsaan, Brad Maloney, terpaksa akur dengan sesuatu yang paling cuba dielakkan, iaitu ihsan daripada keputusan pasukan lain.

Pedih untuk diterima tetapi jalan cerita Malaysia layak ke separuh akhir Kejohanan AFF B-18 jelas sekali disebabkan bantuan daripada keputusan Kemboja yang cemerlang membenam Vietnam 2-1.

Tiada pilihan lain, Maloney terpaksa menerima hakikat kemaraan anak buahnya ke separuh akhir bukan perkara manis untuk dikenang dalam edisi kali ini.

"Ia bukan persembahan terbaik semalam tetapi inilah kesukaran yang kami tempuhi apabila beraksi dalam lima perlawanan bagi tempoh sembilan hari. Tidak mudah buat pemain untuk proses pemulihan setiap dua hari tetapi mereka telah lakukan yang terbaik," katanya.

Hanya prestasi cemerlang dalam saingan seterusnya mampu mengubah persepsi netizen terhadap skuad negara yang tercalar maruahnya ketika ini.

Sementara itu, penolong jurulatih Thailand, Bamrung Poonprung, menganggap Malaysia dan Thailand memiliki kekuatan setara tatkala pasukannya lebih tersusun dalam mencari peluang jaringan.

"Malaysia tidak beraksi seperti biasa. Saya faham keadaan mereka yang berhempas-pulas dalam tiga aksi terdahulu dan di situ kami mengambil peluang," ujar pengendali itu.