Misi Malaysia untuk meraih kejuaraan pertama dalam Kejohanan AFF B-18 terkandas selepas tewas 0-2 kepada Thailand dalam perlawanan akhir di Stadium Thuwunna, Yangon, Myanmar, malam tadi.

Skuad muda negara menamatkan saingan di tempat kedua buat kali kelima dalam kejohanan itu selepas melakukannya pada 2003, 2005, 2006 dan 2007.

Ekanit Panya dan Kritsada Kaman masing-masing menjaringkan satu gol selepas rehat bagi memastikan Thailand tidak membuka peluang kepada Malaysia walaupun selepas itu mereka bermain dengan 10 pemain.

Wudtichai Kumkeam dibuang padang pada minit ke-67 tetapi pemain Bojan Hodak gagal memanfaatkan kelebihan untuk merobohkan benteng Thailand.

Mereka boleh mengurangkan defisit apabila dihadiahkan sepakan penalti pada masa kecederaan, namun sepakan Zafuan Azeman diselamatkan.

Malaysia, yang memulakan kejohanan itu dengan mengalahkan Laos 4-1, Singapura 3-1, Timor-Leste 3-0 dan mengikat Thailand 1-1 dalam Kumpulan A, mara ke final selepas memenangi penentuan penalti menentang Myanmar apabila kedua-dua pasukan terikat 0-0 dalam separuh akhir.

Sementara itu, Indonesia menduduki tempat ketiga selepas menewaskan Myanmar 7-1.