MALAYSIA 3 KEMBOJA 0

Skuad Malaysia B-18 tahun mempamerkan persembahan bermutu apabila mengatasi Kemboja dalam perlawanan ketiga peringkat Kumpulan B, Kejohanan AFF B-18 2019 di Stadium Thanh Long, Bandaraya Ho Chi Minh, sebentar tadi.


Tewas 1-0 dalam aksi pembukaan kepada tuan rumah, Vietnam, skuad kendalian Brad Maloney itu mempamerkan kebangkitan selepas membelasah Singapura 3-1 sementara Kemboja turut menampilkan persembahan cemerlang apabila mengejutkan Thailand 4-3 dalam aksi terdahulu.

Turun tanpa kelibat Muhammad Firdaus Kaironnisam dan Luqman Hakim Shamsudin, Malaysia tidak mempamerkan sebarang kekurangan apabila membuka jaringan pada minit ke-18 menerusi kapten pasukan, Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi, yang melepaskan rembatan dari luar kotak penalti.

Tekanan yang diberikan oleh skuad B-18 negara ke atas jentera pertahanan Kemboja berhasil selepas Muhd Muslihuddin Atiq menggandakan jaringan pada minit ke-38 sebelum menamatkan separuh masa pertama dengan kelebihan tiga jaringan -- Firdaus Ramli menghasilkan jaringan menerusi sepakan percuma.

Malaysia meneruskan momentum dengan mengasak kubu pertahanan skuad kendalian Gyotoku Koji itu menerusi beberapa percubaan daripada Atiq dan Ajmal, namun tidak berjaya menemui gawang.

Bagaimanapun, tahap kecergasan pemain negara yang kelihatan makin berkurangan membuka ruang buat Kemboja melancarkan serangan tetapi kualiti yang dimiliki benteng pertahanan negara cukup ampuh.

Tiada jaringan tambahan berjaya dihasilkan kedua-dua pasukan sehingga tamat permainan, yang membenarkan Malaysia mengumpul tiga mata kedua selepas menghadapi tiga perlawanan.