AUSTRALIA 1 MALAYSIA 0

Serangan bertali arus skuad B-18 negara dalam babak kedua tidak berupaya untuk membantu skuad kendalian Brad Maloney itu mempertahankan kejuaraan dalam Kejohanan AFF B-18 apabila tewas 0-1 kepada Australia dalam final di Stadium Thong Nhat, Bandaraya Ho Chi Minh sebentar tadi.


Selepas berhempas-pulas menewaskan Indonesia 4-3 dalam separuh akhir kelmarin -- perlawanan yang berarutan hingga masa tambahan -- skuad negara jelas dibelenggu kepenatan dengan gol tunggal Lachlan Brook dalam babak kedua menjadi pemisah di antara kedua-dua pasukan.

Malaysia seakan-akan menyimpan tenaga dalam babak pertama apabila lebih gemar bertahan sambil mengharapkan corak serangan balas pantas.

Australia dilihat lebih dominan dengan 59 peratus penguasaan permainan sambil memulakan serangan awal menerusi percubaan Dylan Diaz yang ditangkap kemas penjaga gawang negara, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman.

Malaysia turut memiliki peluang hasil rembatan jarak jauh Muslihuddin Atiq Mat Zahid yang berkesudahan sama.

Belang sebenar Harimau Malaya terpampang jelas dalam babak kedua apabila barisan muda negara itu mula memaparkan permainan berkeamatan tinggi demi menggugat gawang lawan yang dikawal Kai Calderbank-Park.

Hasil gerakan awal Luqman Hakim Shamsudin, Firdaus Kaironisam melepaskan sepakan lencong yang hinggap ke palang gol lawan bagi memulakan satu daripada empat percubaan tepat Malaysia ke kubu Australia.

Luqman sekali lagi menjadi penggerak jentera serangan skuad negara apabila larian pantasnya sukar dikekang pertahanan Australia sebelum dia melakukan hantaran 'cutback' yang disudahi dengan rembatan padu ketua pasukan, Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi, namun terbias pertahanan lawan.

Menerusi satu gerakan serangan balas, Luqman menggunakan kepantasannya untuk melepasi kawalan pertahanan Australia untuk menghasilkan rembatan serong yang ditepis keluar Calderbank-Park.

Bagaimanapun, kelalaian barisan pertahanan negara menyaksikan mereka terpaksa membayarnya dengan harga yang tinggi apabila Sikh Izhan Nazrel, yang bertindak pantas untuk menyelamatkan keadaan, berkesudahan terpaksa diusung keluar gara-gara kecederaan lutut.

Keadaan itu jelas menjadi petanda buruk buat Harimau Malaya apabila penggantinya, Firdaus Irman Mohd Fadhil, dibolosi pada minit ke-79.

Gara-gara lorongan jauh Louis D'Arrigo, Brook melepasi perangkap ofsaid dan tindakan Firdaus Irman untuk menutup ruang jelas sudah terlewat apabila penyerang itu melakukan sungkitan yang menghasilkan jaringan tunggal perlawanan.

Malaysia memperoleh peluang terakhir dalam masa kecederaan -- untuk sekurang-kurangnya mengheret perlawanan ke masa tambahan -- malangnya sepakan percuma Mukhairi Ajmal gagal ditanduk tepat Luqman Hakim.

Sebagai rekod, ia merupakan kejuaraan kelima Australia sejak menyertai Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) pada 2006 manakala Malaysia gagal mempertahankan gelaran yang dijulang di Indonesia dua tahun lalu.

"Kami mahu memenangi kejohanan ini (tetapi tidak menjadi kenyataan) tetapi saya bangga dengan barisan pemain yang bertungkus-lumus.

"Ada beberapa rintangan yang perlu kami hadapi selepas beraksi sepanjang 120 minit permainan di atas padang yang buruk (dalam separuh akhir bertemu Indonesia), bukan mudah untuk pemain mengatasinya.

"Malangnya kecederaan yang menimpa penjaga gol mendorong kami untuk membuat pertukaran tetapi ia adalah sebahagian daripada rintangan yang perlu kami hadapi sepanjang kejohanan ini.

"Mereka berikan komitmen yang mengagumkan dan saya berasakan ia satu usaha yang hebat.

"Aksi separuh masa kedua lebih baik apabila kami banyak memberi tekanan kepada Australia dan kami seharusnya mencetak jaringan terlebih dahulu tetapi inilah bola sepak, pihak lawan memanfaatkan satu peluang yang ada.

"Saya sangat gembira dengan pencapaian ini memandangkan ramai melabel kami dalam kumpulan maut. Tidak banyak yang menaruh harapan kami akan ke final," kata pengendali berusia 47 tahun itu.